PUTRAJAYA 20 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak
579 kertas penamaan calon bagi 222 kerusi Parlimen dan 1,324 bagi 505
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang tempoh penamaan calon hari
ini.
Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, daripada
jumlah itu, tiga kertas pencalonan untuk kerusi DUN ditolak namun tiada
pencalonan untuk kerusi Parlimen yang ditolak.
Penolakan kertas-kertas penamaan calon oleh Pegawai Pengurus Pilihan
Raya adalah disebabkan terdapat mereka yang datang menyerahkan kertas
penamaan didapati tidak mempunyai kelayakan mengikut undang-undang yang
ditetapkan.
Proses penamaan dan pengumuman calon di seluruh negara berjalan
lancar dengan proses penamaan kali ini adalah antara paling cepat
berbanding pada pilihan raya lalu, katanya dalam kenyataan yang
dikeluarkan di sini hari ini.
Menurut beliau, tidak ada calon yang menang tanpa bertanding bagi
kerusi Parlimen dan DUN serta tiada calon yang menarik diri sehingga
tempoh penamaan berakhir pada pukul 10 pagi.
Beliau berkata, sebanyak 132 kerusi Parlimen menyaksikan pertandingan
satu lawan satu, 57 pertandingan tiga penjuru, 24 pertandingan empat
penjuru, tujuh pertandingan lima penjuru, satu pertandingan enam penjuru
dan satu pertandingan tujuh penjuru.
Sebanyak 320 kerusi DUN melibatkan pertandingan satu lawan satu, 107
pertandingan tiga penjuru, 42 pertandingan empat penjuru, 25
pertandingan lima penjuru, 10 pertandingan enam penjuru dan satu
pertandingan tujuh penjuru," kata beliau lagi.
Kamaruddin berkata, berdasarkan senarai calon bertanding, daripada
579 calon kerusi Parlimen, 221 ditandingi Barisan Nasional (BN), 73
(Pas), 99 Parti Keadilan Rakyat (PKR), 51 (DAP) dan 28 (State Reform
Party - Star).
Tidak ketinggalan sembilan kerusi Parlimen ditandingi Barisan Jemaah
Islamiah Se-Malaysia - Berjasa, lapan (Parti Maju Sabah - SAPP), enam
(Parti Pekerja Sarawak - SWP), dua (Parti Kesejahteraan Intan Tanah Air -
KITA), dua (Parti Cinta Malaysia - PCM), satu (Parti Bersatu Sasa
Malaysia - Bersama) dan 79 calon Bebas.
Tambah beliau, daripada 1,321 calon kerusi DUN, 505 merupakan calon
BN, 236 (Pas), 172 (PKR), 102 (DAP), 49 (Star), 41 (SAPP), 11 (KITA),
lima (Berjasa), empat (Bersama), tiga (PCM), dua (Parti Sosialis
Malaysia - PSM) dan 191 calon Bebas.
Sementara itu, seramai 523 calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen terdiri daripada calon lelaki dan 56 calon wanita.
Di peringkat DUN pula, 1,209 calon yang bertanding merupakan calon lelaki dan 112 calon wanita.
Kamaruddin berkata, bagi kerusi Parlimen, seramai lapan calon berada
dalam kategori umur 21-29 tahun, 77 calon (30-39 tahun), 145 calon
(40-49 tahun), 223 calon (50-59 tahun) dan 126 calon berusia 60 tahun ke
atas.
Bagi kerusi DUN pula, seramai 26 calon berada dalam kategori 21-29
tahun, 176 calon (30-39 tahun), 455 calon (40-49 tahun), 492 calon
(50-59 tahun) dan 172 calon lagi berusia 60 tahun ke atas.
SPR berpuas hati dengan perjalanan proses penamaan calon pada hari
ini dan sepanjang tempoh penamaan calon berlangsung SPR tidak menerima
sebarang laporan atau insiden yang tidak diingini sehingga mengganggu
atau menjejaskan perjalanan proses penamaan calon, ujarnya.